|
sumber : ikim |
ASSALAMUALAIKUM ANAK-ANAKKU..
SEBANYAK MUNGKIN UMMI KUMPULKAN BAHAN - BAHAN TERBAIK UNTUKMU
LEWATILAH BLOG INI KELAK BILA KAMU DEWASA
HAYATI PESAN-PESAN PARA USTAZ DAN USTAZAH INI
UMMI TIADA HARTA DAN WANG RINGGIT UNTUK DIWARISI
UMMI YAKIN ILMU DAN NASIHAT ADALAH HARTA YANG TERBAIK UNTUK KALIAN
OLEH ITU KURANGKAN BERANGAN, TINGKATKAN USHA ..TANPA BICARA PAHALA TETAP MENANTI..
“Ada dua hal yang paling aku
takuti menimpa kalian, Iaitu menuruti hawa nafsu dan banyak angan-angan.
Sesungguhnya menuruti hawa nafsu itu dapat menghalangi dari kebenaran,
dan banyak angan-angan itu sama dengan mencintai dunia.” (Riwayat Ibnu Abi Dunya).
Virus panjang angan-angan ini adalah
penyakit Mat Jenin versi akhirat. Jika Mat Jenin versi dunia mati kerana
jatuh pokok akibat terlalu mengangankan kesenangan dunia, Mat Jenin
versi akhirat jauh lebih parah. Mereka dalam kategori ini memburu
akhirat dengan meninggalkan dunia.
Hidup biar berpada, itu pesan Ustaz
Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran pada Hari Rabu
jam 10.15 pagi minggu lalu. Mengaitkannya dengan firman Allah mafhumnya:
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu
(kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu
dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain)
sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu
berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang
yang berbuat kerosakan.”
(Surah Al-Qashash, ayat 77). Ternyata perancangan akhirat itu seiring
dengan jalan atur hidup di dunia. Bagi manusia yang memburu dunia dengan
melupakan akhirat, mereka digelar mansia yang panjang angan-angannya.
Definasi panjang angan-angan adalah
mengharapkan kebaikan tanpa usaha dengan tanggapan waktu dan kesempatan
masih ada atau masih panjang buat diri. Dalam konteks agama, orang yang
panjang angan-angan ini selalu berangan-angan tentang pengampunan Allah
tanpa kesungguhan bertaubat. Sungguh Allah itu Maha Baik, tetapi
terkadang mereka lupa Allah juga Maha Membalas perbuatan dan siksaNya
sangat dahsyat dan pedih.
Selain itu, manusia yang panjang
angan-angan juga adalah manusia yang berangan-angan untuk menewaskan
hawa nafsu batin tanpa kesungguhan dalam mujahadah dan zikrullah. Mereka
sedar Bahawa syaitan dan hawa nafsu akan menyesatkan dan membawa kepada
mereka kepada kebinasaan, tetapi mereka tidak bersungguh-sungguh dalam
berzikir untuk menghalau syaitan dan bermujahadah alam melawan hawa
nafsu.
Ketika Rasulullah SAW ditanya, siapakah orang yang sebenarnya paling pintar, baginda menjawab: “Orang
yang pintar adalah orang yang dapat menundukkan hawa nafsu dan beramal
untuk bekal sesudah mati. Sedangkan orang yang lemah adalah orang yang
mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah dengan panjang
angan-angan” (Riwayat Ibnu
Majah). Maka, jadilah manusia yang bijaksana dengan memendekkan
angan-angan, bersungguh dan bersegera memohon pengampunan Allah serta
tidak berangan-angan kosong sehingga menjadi manusia yang dangkal dalam
menelah kepentingan hakiki antara akhirat dan duniawi apatah lagi
meremeh dan menangguh pengampunanNya.
Hakikatnya, kita ini warga akhirat
bukannya warga dunia. Justeru, bezakan dengan tuntas antara angan-angan
dan harapan. Sedar atau tidak, manusia yang punya harapan tidak miliki
masa untuk putus asa. Harapan memberi mereka ketabahan demi mengecap
kejayaan. Maka, mereka punya kekuatan untuk terus berusaha tanpa
terhenti dengan cubaan yang melintasi perjalanannya digelar manusia yang
punya impi dan harapan. Namun, jika harapan yang tercetus tidak
disusuli dengan usaha gigih maka ia hanya sekadar bermimpi bukannya
berimpian.
Selain itu, manusia yang punya
harapan akan kuat berdoa kerana mereka yakin bahawa doa adalah petunjuk
dalam merealisasikan impian. Semakin tinggi harapan, semakin gigih doa
di panjatkan. Seterusnya, kebergantunggan kepada Allah juga mantap di
kalangan manusia yang tinggi harapannya. Perlu yakin, kejayaan tidak
hadir hanya pada kejituan usaha semata tetapi perlu kepada kepercayaan
pada lemahnya telahan dan jangkaan sepanjang jalan perjuangan.
Sesungguhnya, pada usaha yang sekelumit, bakal menjemput pertolongan
daripada langit. Bantuan Allah akan hadir hasil daripada tawakal
kepadaNya.
Manfaatkan masa yang ada dan terus
berkerja dalam waktu-waktu kritikal dengan segera. Manusia yang punya
harapan ada dorongan untuk bersegera melunaskan setiap yang dirancang.
Tiada istilah bertangguh dalam diri mereka.
Terdapat beberapa faktor manusia
miliki angan-angan yang panjang. Pertama kerana kesanggupan mereka
berlumba mengejar kekayaan dunia tidak seiring rasa rakus mengejar
kekayaan akhirat. Selain itu, mereka alpa tentang kematian yang boleh
datang tanpa mengira masa dan usia. Oleh itu, bermujahadahlah melawan
rasa malas, jemu dan letih dalam beribadah dan megusir gangguan hawa
nafsu dan syaitan. Cari ilmu dan amalkan sebaiknya setiap yang
dipelajari. Katakan pada hati, diri ini bila-bila bisa mati bertemu
Ilahi.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 Mac 2017